AI berpotensi gandakan produktiviti perniagaan tiga kali ganda

0
1

AI berpotensi gandakan produktiviti perniagaan tiga kali ganda

KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpotensi menggandakan produktiviti perniagaan sehingga dua atau tiga kali ganda, bergantung kepada cara teknologi itu diterapkan dalam operasi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak, berkata peningkatan itu boleh dicapai apabila AI digunakan dengan konteks dan objektif yang jelas.

AI berpotensi gandakan produktiviti perniagaan tiga kali ganda

“Dengan pelaksanaan dan objektif yang jelas, AI berpotensi menggandakan kecekapan perniagaan dalam tempoh tiga hingga enam bulan,” katanya pada sidang media selepas GROW AI Summit 2026 di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, AI mampu meningkatkan kecekapan kerana boleh beroperasi sepanjang masa selain menganalisis data, sejarah interaksi dan maklumat pelanggan pada skala lebih besar.

Menurut Chan, Exabytes sendiri melihat perubahan itu menerusi penggunaan ejen AI yang kini mengendalikan kira-kira 80 peratus tugasan peringkat pertama syarikat.

Kata beliau, keadaan itu membolehkan kakitangan yang sebelum ini mengendalikan tugasan berulang diberi latihan semula untuk mengurus akaun dan membina hubungan dengan pelanggan.

“AI membolehkan kakitangan beralih daripada tugasan berulang kepada peranan yang memberi nilai lebih tinggi, termasuk mengurus pelanggan dan membina hubungan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, penggunaan AI juga boleh menyokong pertumbuhan melalui pemasaran, penjanaan prospek, penukaran jualan serta fungsi sumber manusia, pentadbiran dan kewangan.

Penggunaan AI dilihat semakin penting kepada perniagaan yang mahu meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan sumber sedia ada dan mengembangkan operasi tanpa bergantung sepenuhnya kepada pertambahan tenaga kerja.

Full article by Buletin TV3.