KUALA LUMPUR: Exabytes menyasarkan untuk membantu satu juta perniagaan berkembang menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak berkata, walaupun penggunaan AI semakin meluas, kebanyakan perniagaan masih menggunakannya untuk tugasan asas seperti menjana kandungan, video dan teks.
Menurutnya, sektor perniagaan masih belum memanfaatkan sepenuhnya keupayaan AI dalam analisis, ramalan, pembuatan keputusan serta pengendalian tugasan berulang.
“Cabaran sekarang bukan lagi memperkenalkan AI kepada perniagaan, tetapi membantu mereka menerapkannya dalam operasi sebenar untuk menghasilkan nilai yang boleh diukur,” katanya sempena GROW AI Summit 2026 di ibu negara, hari ini.
Katanya, GROW AI diperkenalkan bagi membantu perniagaan beralih daripada sekadar mencuba pelbagai alat AI kepada penggunaan yang lebih tersusun dan berorientasikan hasil.
Tambah beliau, Exabytes kini menyokong lebih 160,000 perniagaan di seluruh dunia, dengan jumlah itu dijangka meningkat kepada kira-kira 300,000 perniagaan di Malaysia menjelang 2030.
Sasaran satu juta perniagaan itu turut merangkumi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menurut Chan merupakan kumpulan terbesar dalam pasaran berkenaan.
Beliau berkata, penerapan AI perlu mengambil kira kesediaan data, kemahiran tenaga kerja serta pulangan pelaburan bagi memastikan teknologi itu benar-benar menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan.
Full article by Buletin TV3.






















