KUALA LUMPUR: Exabytes menyasarkan untuk membantu satu juta perniagaan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, selaras dengan peralihan strategiknya daripada inisiatif ‘Go Digital’ kepada ‘Grow AI’.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Exabytes, Chan Kee Siak, berkata sasaran itu mencerminkan aspirasi syarikat untuk memperluas penggunaan AI dalam kalangan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata, Exabytes ketika ini menyokong lebih 160,000 perniagaan menerusi operasinya sepanjang 25 tahun lalu, dengan jumlah berkenaan dijangka meningkat ketara menerusi pelaksanaan strategi Grow AI.
“Malaysia sebagai pasaran asal kami menjangka sekurang-kurangnya jumlah itu akan berganda daripada angka sedia ada. Jadi, secara ideal, 300,000 perniagaan dari Malaysia, manakala selebihnya dari bahagian lain di Asia Tenggara atau seluruh dunia,” katanya pada sidang media sempena Grow AI Summit 2026, hari ini.
Kee Siak berkata, Exabytes kini beroperasi di Malaysia, Singapura dan Indonesia, selain merancang memperluas kehadirannya ke pasaran lain menjelang 2030 bagi mencapai sasaran berkenaan.
Beliau berkata, lebih separuh daripada bajet dan peruntukan dalaman Exabytes kini berkaitan AI, termasuk pelaburan dalam infrastruktur, perkakasan, latihan bakat serta pembangunan penyelesaian berasaskan teknologi berkenaan.
Menurutnya, penggunaan AI berpotensi meningkatkan produktiviti antara dua hingga tiga kali ganda, selain membolehkan perniagaan berkembang pada skala lebih besar tanpa bergantung sepenuhnya kepada pertambahan tenaga kerja.
Katanya, strategi Grow AI merangkumi pelbagai sektor dan fungsi perniagaan termasuk pemasaran, penjanaan prospek, jualan, sumber manusia, pentadbiran dan kewangan.
Mengenai kumpulan sasaran, Kee Siak berkata, PKS menjadi fokus utama Grow AI berikutan jumlahnya yang besar dalam pasaran Malaysia, selain membentuk majoriti pelanggan Exabytes ketika ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Exabytes memeterai memorandum persefahaman (MoU) selama tiga tahun dengan Aurora Mobile menerusi platform AI perusahaan, GPTBots.ai.
Kerjasama itu menggabungkan infrastruktur awan, perkhidmatan terurus, rangkaian pelanggan dan keupayaan pelaksanaan serantau Exabytes dengan kepakaran Aurora Mobile dalam platform AI perusahaan, ejen AI, pengurusan pengetahuan, automasi aliran kerja serta pembangunan aplikasi AI.
Full article by Berita Harian.























