Exabytes telah mengadakan satu sesi temu ramah untuk berkongsi pengalaman seorang usahawan muda yang menjadikan minat beliau kepada satu perniagaan.
Cik Ainul Hayati, 21 merupakan pemilik Diploma in Business Management mengasaskan 2MakeYours di mana beliau menjadikan Paint By Numbers Kit sebagai produk pertama beliau.
Ikuti temu ramah kami di bawah.
Ceritakan lebih lanjut mengenai perjalanan keusahawanan anda
Saya mendapatkan idea perniagaan ini berdasarkan hobi dan minat saya semenjak kecil.
2MakeYours merupakan usaha perniagaan saya seorang.
Saya mulakan perniagaan 2MakeYours pada tahun 2019 dengan menyediakan servis Chocolate Box di mana saya menyediakan pelbagai jenis coklat untuk dibungkus dan dijadikan sebagai hadiah mengikut permintaan pelanggan.
Sehingga tahun 2021, saya ingin memiliki produk sendiri dan dari situ, saya menemukan produk Paint By Numbers Kit.
Saya suka mewarna dan melukis jadi saya ingin berkongsi minat saya dengan orang lain.
Walaupun saya bukan seorang pelajar seni, memori semasa kanak-kanak banyak mempengaruhi saya untuk memilih Art Board- Paint by Numbers Kit sebagai produk saya.
Selain itu, Paint By Numbers Kit tidak begitu dikenali di Malaysia, ini membuatkan saya ingin memperkenalkan produk ini kepada semua.
Sambutan Paint By Numbers Kit amat menggalakkan semenjak dilancarkan.
Saya juga mula menggunakan TikTok untuk melakukan pemasaran Paint By Numbers Kit dan sambutan pengguna TikTok amat memberangsangkan.
Video saya membungkus Paint By Numbers Kit mendapat perhatian dan menjadi sumber saya untuk mendapatkan pelanggan.
Untuk menghargai pelanggan saya, saya gemar memberikan mereka free gift yang saya reka dan cipta sendiri.
Saya amat gembira apabila mereka menghargai pemberian saya.
Tolong bagikan kepada kami cabaran yang tidak dapat dilupakan yang anda hadapi selama ini, dan bagaimana anda mengatasinya?
Cabaran dari segi menyediakan konten.
Contohnya untuk akaun TikTok 2MakeYours, sejujurnya saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuat video setiap hari tapi saya cuba sebaik mungkin untuk merangka konten yang baik untuk pengikut saya.
Konten saya juga bertujuan untuk memperkenalkan lagi Paint By Numbers Kit kepada pengguna TikTok yang lain.
Selain itu, pada permulaan perniagaan Paint By Numbers Kit, saya perlu mencari dan mencuba banyak pembekal sehingga saya jumpa pembekal sesuai untuk menjadi pembekal Paint By Numbers Kit kepada 2MakeYours.
Seperti apa hari kerja biasa anda? Bagaimana anda menjadikan diri anda produktif?
Setiap hari saya akan cuba untuk mencapai target yang ditetapkan.
Saya juga sentiasa merancang konten yang sesuai untuk 2MakeYours.
Walaupun ada hari yang saya tak sempat nak sediakan konten, saya akan cuba mencari masa untuk sediakan konten.
Minat saya yang mendalam dengan Paint By Numbers Kit memberi saya keseronokan untuk berniaga setiap hari.
Apa yang membuatkan anda membuat keputusan untuk menjual secara dalam talian, Instagram & Shopee?
Pada mulanya saya menggunakan platform Shopee untuk menjual Paint By Numbers Kit kerana shipping yang percuma.
Kemudian saya beralih ke TikTok dan Instagram saya berhenti untuk menerima pesanan dari Shopee.
Ini kerana saya memilih untuk menggunakan EasyParcel sebagai servis kurier saya.
Setakat ini pesanan yang diterima amat memberangsangkan. Siapa sangka TikTok merupakan sumber utama pendapatan saya.
Saya menerima banyak pesanan dari pelanggan di TikTok.
Jadi setiap usaha yang saya lakukan untuk menghasilkan video di TikTok berhasil mendapatkan jualan untuk perniagaan saya.
Instagram juga saya gunakan sebagai platform rasmi untuk saya berkongsi sebarang pengumuman rasmi mengenai 2MakeYours.
Di masa depan, saya ingin memiliki website saya sendiri dan menguruskan pesanan dari website sahaja.
Adakah anda yang menguruskan kedai Instagram, Facebook & Shopee?
Ya, saya menguruskan semua akaun secara bersendirian.
Dari menyediakan pesanan untuk pos sehingga membalas komen di media sosial.
Disebabkan itu terdapat hari dimana saya tidak dapat post konten di sosial media kerana terlalu sibuk.
Tapi saya bersyukur kerana pengikut saya faham akan situasi saya.
Sebelum mula menjual secara dalam talian, adakah anda sudah mengetahui cara mempromosikan produk di laman Facebook, Instagram & Shopee?
Sejujurnya saya tidak tahu.
Saya banyak mencuba.
Bermula dari perniagaan Chocolate Box saya, saya banyak belajar.
Kemudian dari pengalaman itu, saya persiapkan diri saya dan sediakan strategi dan bahan yang secukupnya untuk Paint By Numbers Kit.
Adakah anda berhenti kerja tetap untuk merealisasikan impian usahawan anda? Atau adakah anda menganggap ini (perniagaan kecil) sebagai pekerjaan sambilan anda?
Saya menjalankan perniagaan ini secara sepenuh masa.
Sebenarnya pada permulaan saya ingin mengambil alih perniagaan dari ibu dan ayah saya.
Tetapi saya membuat keputusan untuk mengeluarkan produk dan menjalankan perniagaan dari bawah.
Keluarga saya menyokong keputusan saya dan banyak membantu saya hingga ke hari ini.
Saya merancang untuk menjadikan 2MakeYours lebih besar di masa hadapan.
Namun dalam masa yang sama saya masih mempunyai banyak perkara perlu dipelajari, jadi saya akan sama-sama menambah ilmu dalam perniagaan dan amalkan apa yang saya pelajari untuk menjadikan 2MakeYours lebih baik.
Sebenarnya terdapat sebilangan besar masyarakat yang masih berniaga secara tradisional, sila berikan nasihat terbaik anda kepada mereka , bagaimana anda ingin mendorong mereka untuk menjalankan bisnes online seperti anda?
Bagi saya, jika anda membawa perniagaan anda ke dunia online, lebih ramai akan tahu mengenai produk anda.
Produk anda juga tidak akan terhad di sesuatu tempat sahaja.
Secara ringkasnya, perniagaan online membuka lebih banyak peluang dari segi mendapatkan pelanggan.
Bahan untuk memasarkan produk secara online juga mudah disediakan dan mudah untuk didapatkan.
Terdapat pelbagai kaedah pemasaran percuma yang boleh dilakukan secara online.
Jadi saya amat mengesyorkan untuk berniaga secara online.
Menurut anda apa bahan / sokongan yang diperlukan oleh peniaga tradisional untuk membantu mereka dalam bisnes online? Pendidikan? Atau Wang?
Bagi saya pendidikan amat penting.
Wang juga memainkan peranan untuk menjalankan perniagaan namun tanpa ilmu perniagaan amat sukar untuk sesebuah perniagaan untuk berkembang.
Banyak cabaran yang perlu dilalui oleh usahawan, pengalaman dan ilmu ialah apa yang akan membantu seseorang dalam membuat sebarang keputusan yang penting.
Kesimpulan
Pihak Exabytes ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Ainul kerana sudi meluangkan masa dan bermurah hati untuk berkongsi pengalaman beliau sebagai pemilik 2MakeYours.
Exabytes berharap 2MakeYours akan berkembang dan dikenali ramai di masa depan dan kisah Cik Ainul akan menjadi inspirasi kepada pengusaha muda diluar sana.
Sekiranya anda ingin memiliki website ecommerce harga mampu milik, Exabytes sedia membantu anda.